Mulai 1 Januari 2025, Malaysia akan menyaksikan perubahan penting dalam struktur duti setem yang akan memberi kesan kepada banyak transaksi, terutama dalam perjanjian sewa dan pajakan.
Dengan pengenalan kadar baharu, penalti untuk kelewatan, serta perubahan dalam formula pengiraan, semua pihak terlibat – penyewa, pembeli, ejen hartanah, dan pemilik properti – perlu memahami perubahan ini untuk mengelakkan kos tambahan!
Apa yang Anda Perlu Tahu
- Apa itu Duti Setem untuk Kontrak Sewa?
- Kenaikan Terkini Kadar Duti Setem
- Formula Pengiraan Sewa
- Kira Purata Sewa Tahunan (PST)
- Kadar Berdasarkan Tempoh Sewaan
- Kira Duti Setem
- Perubahan Penalti Penyeteman Lewat
- Cara Kira Penalti Setem Lewat yang Baru
Apa itu Duti Setem untuk Kontrak Sewa?
Duti setem untuk kontrak sewa adalah cukai yang perlu dibayar di Malaysia sebelum kontrak sewa menjadi sah dari segi undang-undang. Cukai ini dikenakan berdasarkan jumlah sewa yang dinyatakan dalam kontrak. LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) akan mengutip duti setem untuk memastikan kontrak sah dari segi undang-undang. Bayaran duti setem akan bergantung kepada jumlah sewa dan tempoh sewaan.
Biasanya, duti setem dikira berdasarkan jumlah sewa tahunan. Setiap RM250 sewa dikenakan duti setem tertentu. Kontrak sewa perlu dicop oleh LHDN untuk menjadi sah dan digunakan sebagai bukti di mahkamah.
Kenaikan Terkini Kadar Duti Setem
Kadar duti setem akan meningkat berdasarkan skala baru yang lebih tinggi, bergantung kepada jumlah nilai sewa keseluruhan dan tempoh pajakan. Berikut adalah kadar duti setem berdasarkan pindaan terkini Akta Setem yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025:
| Tempoh Sewa/Pajakan | Sebelum 1 Januari 2025 | Selepas 1 Januari 2025 |
|---|---|---|
| Tidak melebihi 1 tahun | RM1 | RM1 |
| Melebihi 1 tahun tetapi tidak melebihi 3 tahun | RM2 | RM3 |
| Melebihi 3 tahun tetapi tidak melebihi 5 tahun | RM4 | RM5 |
| Melebihi 5 tahun atau untuk tempoh tidak tentu | RM4 | RM7 |
Duti setem dikira berdasarkan setiap RM250 atau sebahagian daripadanya, berdasarkan sewa purata dan pertimbangan lain untuk keseluruhan tahun.
Formula Pengiraan Sewa
i. Kira Purata Sewa Tahunan (PST)

S = Sewa bulanan
T = Tempoh dalam bulan
# = Nombor kadar berikutnya (untuk sewan dengan kadar yang berlainan)
ii. Kadar Berdasarkan Tempoh Sewaan
| Tempoh Sewa | Kadar Sewa |
|---|---|
| <1 tahun | RM1 bagi setiap RM250 atau sebahagian daripada RM250 |
| >1-3 tahun | RM3 bagi setiap RM250 atau sebahagian daripada RM250 |
| >2-5 tahun | RM5 bagi setiap RM250 atau sebahagian daripada RM250 |
| >5 tahun | RM7 bagi setiap RM250 atau sebahagian daripada RM250 |
iii. Kira Duti Setem
Kaedah pengiraan duti setem baru tetap sama seperti sebelum ini. Berikut adalah cara mudah mengira caj duti setem untuk pajakan:
Duti Setem = [(Purata Sewa Tahunan / 250) Dibundarkan ke atas bagi setiap 250] x Kadar Berdasarkan Tempoh Sewaan
Sebagai contoh, andaikan sewa bulanan anda ialah RM2,000 dan tempoh pajakan ialah 3 tahun, berikut ialah cara jumlah duti setem anda dikira:
Sewa tahunan = RM2,000 x 12 = RM24,000
Kadar duti setem = RM3 bagi setiap RM250
- RM24,000 / 250 = 96
- Duti setem = 96 x RM3 = RM288
Jadi, duti setem yang perlu dibayar adalah RM288.
Dua salinan kontrak pajakan mesti dibuat, satu untuk diberikan kepada tuan tanah dan satu lagi kepada penyewa. Bayaran setem untuk salinan adalah bayaran tetap sebanyak RM10.
RM288 (asal) + RM10 (salinan) = RM298
Oleh itu, jumlah duti setem yang perlu anda bayar ialah RM298.
Perubahan Penalti Penyeteman Lewat
Tempoh penyeteman yang ditetapkan masih kekal iaitu 30 hari dari tarikh perjanjian ditandatangani. Walau bagaimanapun, dengan perubahan baru pada kadar duti setem, penalti yang dikenakan bagi kelewatan pembayaran menjadi lebih signifikan. Penalti dikenakan berdasarkan tempoh kelewatan seperti berikut:
| Tempoh Masa | Sebelum 1 Januari 2025 | Selepas 1 Januari 2025 |
|---|---|---|
| Kurang daripada 3 bulan | RM25 atau 5% daripada jumlah tertunggak duti setem | RM50 atau 10% daripada jumlah tertunggak duti setem |
| Lebih daripada 3 bulan tetapi kurang daripada 6 bulan | RM50 atau 10% daripada jumlah tertunggak duti setem | RM100 atau 20% daripada jumlah tertunggak duti setem |
| Lebih daripada 6 bulan atau lebih | RM100 atau 20% daripada jumlah tertunggak duti setem | RM100 atau 20% daripada jumlah tertunggak duti setem |
Amaun yang perlu dibayar hendaklah mengikut mana yang lebih tinggi
Cara Kira Penalti Setem Lewat yang Baru
Secara ringkas, anda perlu tahu jumlah duti setem kontrak pajakan terlebih dahulu. Hanya selepas itu, anda boleh kira jumlah denda yang perlu dibayar.
Cara Kira Penalti
Mengambil contoh yang baru disebutkan, dengan mengandaikan duti setem anda ialah RM298, penalti dikira seperti berikut:
- Sekiranya kelewatan penyeteman kurang daripada 3 bulan, penalti ialah RM50 atau 10% daripada jumlah tertunggak duti setem.
- RM298 x 10% = RM29.80, penalti RM50.
LHDN akan menggunakan jumlah tertinggi, jadi denda akan dikenakan RM50.
- Sekiranya kelewatan penyeteman lebih 3 bulan, penalti ialah RM100 atau 20% daripada jumlah tertunggak duti setem.
- RM298 x 20% = RM59.60, penalti RM100.
LHDN akan menggunakan jumlah tertinggi, jadi denda akan dikenakan RM100.
Secara keseluruhannya, pastikan anda memahami perubahan duti setem dan mematuhi tarikh pengecapan untuk mengelakkan penalti dan kos tambahan. Penyelesaian tepat pada waktunya akan membantu mengurangkan risiko denda dan memastikan kontrak sewa anda sah dari segi undang-undang.
Untuk Servis Stamping : https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdwdF4BpqDOr6LbRWmrKoR1-Wu9blAROaiMf3lofD-h0ZxLMw/viewform?usp=pp_url





