Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH)
Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH), juga dikenali sebagai Board of Valuers, Appraisers, Estate Agents and Property Managers (BOVAEP), ditubuhkan pada tahun 1981 di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Penubuhannya ditadbir oleh Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta 1981 (Akta 242). Fungsi utama LPPEH adalah untuk mengawal selia amalan penilai, pentaksir, ejen harta tanah dan pengurus harta tanah di Malaysia.
Antara peranan utama LPPEH termasuk:
- Memantau dan meluluskan pendaftaran penilai, pentaksir, ejen harta tanah berdaftar (REA), ejen harta tanah percubaan (PEA), perunding harta tanah (REN), serta firma berkaitan.
- Melindungi kepentingan orang awam daripada penipuan, salah nyataan dan amalan tidak beretika dalam transaksi harta tanah.
- Menyediakan direktori rasmi profesional berdaftar untuk semakan orang awam.
- Menguatkuasakan standard etika dan kelakuan profesional melalui prosiding tatatertib jika perlu.
Laman Rasmi Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH) – Tentang Kami – Peranan
Perunding Harta Tanah (REN) hanyalah individu yang bertindak sebagai jurujual yang tidak diberi pengiktirafan eksplisit dalam Akta atau Peraturan, tetapi diiktiraf secara tidak formal oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH) sebagai pembantu yang diambil bekerja oleh ejen harta tanah dalam amalan perejenan harta tanah di bawah arahan serta penyeliaan langsung mereka. Oleh itu, perunding tidak dibenarkan bertindak secara bebas daripada firma ejen harta tanah, dan sekiranya terdapat keraguan, orang awam disarankan untuk menyemak dengan LPPEH atau firma ejen harta tanah berkenaan. Perunding hanya boleh bekerja untuk satu ejen harta tanah pada satu-satu masa dan secara sepenuh masa sahaja.
Ejen Harta Tanah (REA atau Prinsipal) yang berdaftar dengan LPPEH sahajalah yang boleh bertindak sebagai Ejen Harta Tanah. Mereka menyediakan perkhidmatan dalam pembelian, penjualan, dan penyewaan hartanah bagi pihak klien supaya pulangan optimum dapat dicapai.
Laman Rasmi Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH) – Tentang Kami – Kod Amalan
Adalah penting untuk memahami Kod Am Amalan dan Etika bagi Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta yang Berdaftar. Antara peruntukannya ialah:-
- Tiada ejen harta tanah yang berdaftar dibenarkan, secara langsung atau tidak langsung, membenarkan atau bersetuju untuk membenarkan penyertaan oleh mana-mana orang atau syarikat selain ahli berdaftar LPPEH dalam keuntungan kerja profesionalnya.
- Adalah menjadi kewajipan ejen harta tanah berdaftar untuk melindungi orang awam daripada penipuan, salah nyataan, dan amalan tidak beretika berkaitan semua transaksi harta tanah.
- Ejen harta tanah berdaftar mesti memaklumkan kepada kliennya tentang sebarang hubungan perniagaan, kepentingan, atau pertalian lain yang mungkin wujud berkaitan dengan perkhidmatan yang diberikan kepada klien tersebut.
- Ejen harta tanah berdaftar tidak boleh menerima bayaran daripada lebih daripada satu klien dalam satu transaksi.
- Ejen harta tanah berdaftar tidak boleh bertindak bagi pihak satu pihak dalam transaksi manakala ejen harta tanah berdaftar lain daripada firma yang sama atau firma berkaitan bertindak bagi pihak yang bertentangan dalam transaksi yang sama, kecuali dengan pengetahuan dan persetujuan semua pihak yang terlibat.
- Nama dan tandatangan ejen harta tanah berdaftar mesti tertera pada semua cadangan, laporan, dan dokumen lain yang disediakan olehnya dengan menunjukkan statusnya sebagai ejen harta tanah berdaftar.
- Cawangan ejen harta tanah berdaftar mesti diketuai oleh ejen harta tanah berdaftar yang menetap di situ.
Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta 1981 (Akta 242), Seksyen 22C
Sesungguhnya, dalam Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta 1981 (Akta 242), Seksyen 22C mengenai sekatan ke atas amalan perejenan harta tanah menyatakan:
(2) Walau apa pun subseksyen (1)—
(d) seseorang perunding boleh membantu ejen harta tanah berdaftar dalam amalan perejenan harta tanah.
(2A) Bagi maksud perenggan (2)(d), “perunding” ertinya seseorang yang diambil bekerja oleh ejen harta tanah berdaftar untuk membantunya dalam amalan perejenan harta tanah.
(3) Peruntukan yang berhubungan dengan amalan perejenan harta tanah dalam subseksyen (1) dan (2) hendaklah terpakai mutatis mutandis bagi sesuatu firma.
Ini jelas menunjukkan bahawa perunding harta tanah hanyalah pembantu kepada ejen harta tanah berdaftar dan tidak lebih daripada itu.
Peraturan-Peraturan Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1986 (Akta 242)
Selain itu, dalam Peraturan-Peraturan Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1986, Peraturan 96 menyatakan mengenai pencarian kelebihan tidak adil ke atas ejen harta tanah berdaftar lain:
(1) Ejen harta tanah berdaftar tidak boleh mencari kelebihan tidak adil ke atas ejen harta tanah berdaftar lain dan hendaklah menjalankan perniagaannya dengan cara yang mengelakkan pertikaian dengan ejen harta tanah berdaftar lain.
(2) Ejen harta tanah berdaftar tidak boleh membuat atau menyertai sebarang tawaran promosi atau memberi atau menyertai pemberian sebarang insentif untuk mendapatkan perniagaan.
(3) Tiada ejen harta tanah berdaftar boleh mendakwa bahawa perkhidmatannya lebih baik daripada ejen harta tanah berdaftar lain, sama ada secara langsung atau dengan perkataan yang sama ertinya, melalui sebarang bentuk iklan.
(4) Ejen harta tanah berdaftar tidak boleh mendirikan sebarang papan tanda atau bentuk iklan lain pada hartanah klien jika sudah ada papan tanda atau iklan sedemikian pada hartanah tersebut melainkan dengan kebenaran bertulis daripada klien.
Manakala Peraturan 99 pula menyatakan mengenai kritikan terhadap ejen harta tanah berdaftar lain:
(1) Tiada ejen harta tanah berdaftar boleh menawarkan, menyatakan, atau menyampaikan kepada orang awam sebarang kritikan atau komen mengenai perkhidmatan profesional, kelakuan, atau bayaran profesional yang dikenakan oleh ejen harta tanah berdaftar lain.
(2) Ejen harta tanah berdaftar tidak boleh dengan niat jahat mencederakan atau cuba mencederakan, secara langsung atau tidak langsung, reputasi profesional, prospek, atau perniagaan ejen harta tanah berdaftar lain.
Standard Agensi Harta Tanah Malaysia Edisi Ketiga 2020
Dalam Standard Agensi Harta Tanah Malaysia Edisi Ketiga 2020, Nilai Teras menyatakan:
- Penyediaan perkhidmatan berkualiti dengan Kesopanan, Keadilan dan Integriti; Ejen Harta Tanah wajib memberikan perkhidmatan berkualiti kepada Klien mereka dengan kesetiaan mutlak, serta mengamalkan profesion mereka dengan komitmen kepada cita-cita tertinggi integriti, kehormatan dan kesopanan, serta menjalankan aktiviti perniagaan mereka dalam semangat keadilan dan muhibah terhadap Orang Awam serta rakan profesional lain dalam industri harta tanah.
- Kewajipan Ejen Harta Tanah terhadap Perunding Harta Tanah (REN); Setiap Ejen Harta Tanah mempunyai kewajipan untuk memastikan REN mereka mematuhi Nilai Teras yang terkandung di sini setakat yang konteks membenarkan.
Isu Semasa & Amalan Ejen Masa Kini
Pada masa kini, dengan kebebasan media sosial yang semakin meluas, sesiapa sahaja boleh meluahkan kemarahan serta merendahkan martabat orang lain. Ini termasuk ejen harta tanah khususnya Perunding Harta Tanah (REN). Namun begitu, terdapat ejen harta tanah atau perunding harta tanah yang mengutuk dan memburukkan perunding harta tanah lain. Walaupun perunding tersebut melakukan kesalahan, bukanlah hak perunding lain untuk memburukkan, apatah lagi menjatuhkan hukuman. Ini bermakna perunding harta tanah sedang memburukkan pembantu ejen harta tanah berdaftar lain, dan secara tidak langsung membawa suara ejen harta tanah berdaftar yang diwakilinya. Akibatnya, pertikaian antara dua ejen harta tanah berdaftar boleh berlaku. Jagalah nama baik ejen harta tanah berdaftar anda kerana perunding harta tanah bertugas secara sepenuh masa mengikut undang-undang, maka tiada ucapan perunding harta tanah yang dibuat dalam kapasiti peribadi, sebaliknya semuanya dalam kapasiti sebagai pembantu ejen harta tanah anda.
Sekiranya benar perunding lain melakukan kesalahan, gunakan saluran rasmi yang betul untuk membuat aduan kepada LPPEH/BOVAEP, bukannya menjadikan media sosial sebagai medan untuk mengutuk, menghina, malah menjatuhkan hukuman sehingga orang awam melihat industri perejenan harta tanah dalam keadaan tidak terkawal dan parah. Kita boleh menegur sesama sendiri dengan berlapang dada atau berbudi bicara, agar saling mengingati dan teguran tersebut menjadi teguran yang membina serta mengekalkan profesionalisme perejenan pada tahap tertinggi.
Ingatan ini ditujukan kepada saya sendiri, Shah Ejen Harta Tanah Percubaan, serta semua pemain dalam industri perejenan harta tanah yang lain.




